Solat Witir ialah solat sunat yang dikerjakan pada waktu malam selepas solat isyak sehingga terbit fajar saddiq (sebelum masuk waktu subuh), lebih afdal lagi bila ia dilakukan pada sepertiga malam yang terakhir. Ia boleh dilakukan setiap malam, tidak hanya pada bulan ramadan sahaja.
Solat Witir adalah solat yang unik kerana dikerjakan pada jumlah rakaat
yang ganjil jumlahnya iaitu sekurang-kurangnya satu rakaat, selebihnya 11
rakaat. Paling afdal ialah 3 rakaat iaitu dimulai dengan solat witir dua rakaat
satu salam dan disambung dengan solat witir satu rakaat satu salam. Kerana
ianya unik, Solat witir mesti dilakukan dengan rakaat yang ganjil sebagai
penyudah.
Solat witir sangat digalakkan untuk dilakukan berdasarkan hadis Nabi
Muhammad saw. Rasulullah saw, bersabda yang bermaksud:
“Sesiapa yang mengerjakan sembahyang dhuha, berpuasa tiga hari daripada sebulan dan tidak pernah meninggalkan sembahyang witir sama ada dalam pelayaran dan bermuqim, dicatat baginya pahala orang syahid.” - Hadis riwayat at-Thabran
“Witir itu hak (benar). Barangsiapa yang tidak berwitir ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak maka barang siapa yang tidak mengerjakannya ia bukan dari golongan kita! Witir itu hak, barangsiapa yaang tidak mengerjakannya maka ia bukan dari golongan kita!” - Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud
Nabi Muhammad saw bersabda:
“Sesungguhnya Allah telah memberikan (hadiahkan) kepada kamu satu solat, yang mana ianya adalah lebih baik daripada unta-unta yang terbaik. Iaitulah Solat Witir.” - Hadis Riwayat Abu Daud, Tarmizi dan Ibnu Majah
Gambaran masyarakat Arab ketika itu ialah sesiapa yang memiliki unta
yang terbaik akan dianggap sebagai orang yang berharta dan kaya. Boleh
diibaratkan seperti zaman sekarang ialah orang ynag berstatuskan jutawan,
memiliki kekayaan.
Bayangkan
berapa lama untuk mengumpulkan harta sehingga menjadi jutawan dan memiliki
kekayaan, adalak kita cuma perlu lakukan selama 10 tahun? 30 tahun untuk
menjadi seorang jutawan?
Tetapi dengan
mengerjakan solat witir dengan hanya satu rakaat sahaja, melebihi daripada apa
yang kita idamkan iaitu menjadi jutawan dan miliki harta yang berlimpah luah.
Bayangkan pula jika solat witir itu dilakukan 3 rakaat atau 5 rakaat. Berapa
kali ganda kekayaan yang boleh dibayangkan dengan hanya mengerjakan solat
witir.
Tetapi ini
hanyalah satu perumpamaan, apa yang diterangkan oleh Rasulullah saw adalah
untuk memudahkan fahaman kita kepada gambaran kebendaan, sedangkan di Akhirat
nanti balasan yang diterima adalah berkali ganda di dalam syurga.
Ia
seolah-olah mengambarkan betapa mudahnya kita boleh menjadi kaya raya iaitu
hanya mengambil masa beberapa minit sahaja. Ternyata hadiah ini sememangnya
bernilai diberikan oleh Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Terlalu
mudah untuk hamba-hamba-Nya memasuki syurga tetapi hanya segelintir sahaja yang
mengambil manafaatnya,
Oleh yang
demikian janganlah ditinggalkan solat witir, kerjakanlah walaupun hanya sedikit
bilangan rakaatnya tetapi berterusan. Amalan yang berterusan tetapi sedikit
adalah perkara yang disukai oleh Allah swt.
Sebagai mana
di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah ra yang bermaksud:
“Ditanya Nabi Muhammad saw tentang amalan-amalan yang disukai oleh Allah. Baginda bersabda: “Amalan yang berterusan walaupun sedikit.” - Hadis riwayat Bukhari
sumber :http://myibrah.com/kelebihan-solat-sunat-witir